Sudah menjadi lumrah manusia untuk tertarik pada keindahan di sekeliling mereka. Boleh dikatakan setiap orang idamkan kehidupan yang dipenuhi dengan kecantikan termasuk lah kediaman mereka sendiri. Mana tidaknya, dibalik hiruk-piruk kehidupan seharian di kota, rumah dilihat seakan ‘syurga dunia’ di mana kita dapat beristirehat dengan tenang dan ianya seperti sarang tempat kita berteduh dan berlindung.
Di sinilah kekuatan fizikal dan emosi anda sebagai pemilik kediaman akan diuji. Proses pengubahsuaian rumah memang sangat menyeronokkan! Namun, di sebalik keseronokkan itu anda harus siapkan diri anda untuk berhadapan dengan seribu satu kemungkinan. Perlu diingatkan, setiap kemungkinan itu mempunyai tanda harga yang perlu dibayar. Jangan risau dan jangan susah hati lagi! Di sini kami akan beri anda panduan lengkap untuk ubahsuai rumah tanpa berbelanja besar.
Contents
1. Rancang Kewangan Dengan Teliti
Proses ubahsuai rumah ini memerlukan perancangan yang sangat teliti lebih-lebih lagi hal yang melibatkan perbelanjaan. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk mengubahsuai rumah dalam masa yang terdekat ini, anda dinasihatkan untuk membuat perancangan yang jelas, teliti dan realistik.
Tentukan terlebih dahulu bahagian mana yang paling penting untuk diubahsuai dan kenalpasti kos ubahsuai bagi bahagian tersebut. Mungkin agak sukar bagi anda untuk mengikut 100% seperti apa yang telah dirancang kerana peningkatan kos barangan dan juga perkara-perkara yang tidak dijangka mungkin berlaku semasa proses ubahsuai dilakukan. Jadi, sangat penting untuk anda asingkan 10% atau 20% dari bajet anda untuk perkara seperti ini. Lebih banyak anda boleh simpan lebih baik!
Tahukah Anda?
Tahukah anda terdapat sebuah yayasan di bawah Akta Syarikat 2016 yang menawarkan pinjaman peribadi patuh shariah untuk penjawat awam? Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) yang ditubuhkan pada tahun 2012 ini menyediakan pinjaman peribadi patuh syariah ekslusif untuk penjawat awam Malaysia, kakitangan Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terpilih.
Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) menjaminkan kelulusan pembiayaan yang mudah, cepat dan pengeluaran wang dalam masa 48 jam sahaja.
Pembiayaan peribadi yang disediakan adalah seperti:
· Penyatuan Pembiayaan;
· Pengubahsuaian Rumah;
· Pendidikan;
· Perniagaan;
· Perubatan/Kesihatan;
· Kecemasan; dan
· Umrah/Haji.
Layari laman sesawang rasmi Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai servis-servis yang ditawarkan di https://yir.com.my/.
2. Buat Kajian Sendiri
Antara cara yang terbaik untuk jimat kos ubahsuai rumah anda adalah dengan membuat kajian yang teliti sebelum membuat sebarang keputusan penting. Tidak salah sekiranya anda ahli keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai pengalaman ubahsuai rumah sebelum ini kerana anda boleh meminta pendapat mereka dan dapatkan cadangan kontraktor yang pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.
Kebanyakan kontraktor sekarang menawarkan khidmat rundingcara dan sebut harga secara percuma. Sediakan senarai kontraktor pilihan anda dan dapatkan sebut harga untuk tentukan khidmat mana yang lebih sesuai dengan bajet anda. Bukan itu sahaja, dengan membuat kajian terlebih dahulu, anda boleh kenalpasti jenis bahan binaan yang diperlukan bagi projek ubahsuai tersebut. Setiap bahan mempunyai kualiti dan harga yang berbeza. Jadi anda mungkin dapat mengurangkan kos tersebut dengan membeli bahan binaan anda sendiri.
3. Setiap Ruang Berbeza Kos
Selain daripada itu, anda juga perlu mengambil perhatian tentang keluasan ruang yang ingin diubahsuai. Hal ini demikian kerana, kos ubahsuai adalah berbeza megikut keluasan.
Sebagai contoh, jika anda ingin ubahsuai bahagian ruang tamu dan dapur di kediaman anda, anda tidak boleh membuat andaian bahawa kos ruang tersebut lebih kurang sama. Tidak sama sekali!
Selain ruang tamu, dapur juga merupakan salah satu ruang yang paling penting di sesebuah rumah. Hal ini demikian kerana, di ruang inilah anda banyak meluangkan masa bersama keluarga untuk memasak dan makan bersama ahli keluarga. Di sini, kami sediakan contoh anggaran pengiraan bagi kos ubahsuai dapur untuk rujukan anda. Bergantung kepada saiz rumah, kos ubahsuaidapur boleh menelan belanja sekitar RM20,000 hingga RM40,000 untuk ubahsuai keseluruhan dapur termasuk perbelanjaan peralatan.
Sebagai contoh, pemilihan jubin lantai dapur berbeza dengan jubin lantai ruang tamu atau ruang-ruang lain. Anda perlu memilih jubin yang tahan lasak dan senang dijaga seperti jubin porselin. Kos jubin ini adalah sekitar RM2.00/kaki persegi dan kos pemasangan boleh mencecah anggaran RM8.00 hingga RM12.00 per kaki persegi. Selain itu, dinding dapur biasanya menggunakan bahan jenis batu-bata, jubin seramik atau batu semulajadi tetapi perlu ingat bahawa batu semulajadi agak mahal kerana tahap ketahanannya yang tinggi dan mempunyai nilai estetika yang unik. Ianya boleh mencecah anggaran dari RM75.00 hingga RM150.00 per meter persegi. Itu belum lagi termasuk barang kelengkapan lain seperti kabinet dapur, kerja-kerja pemasangan paip, wayar elektrik, perkakas dapur dan banyak lagi!
4. Kitar Semula dan Baik Pulih Barangan Terpakai
Untuk mengubahsuai rumah, anda tidak perlu buang semua perabot asal lebih-lebih lagi perabot yang masih berada dalam keadaan baik. Cabar kreativiti anda dan minta pertolongan ahli keluarga lain untuk kitar semula barangan tersebut. Mungkin anda boleh cat semula dengan warna yang berlainan atau tukar fabrik perabot tersebut untuk memberi nafas baru.
Sebagai contoh, jika anda mempunyai bajet yang agak ketat, anda boleh cat semula meja atau almari yang sudah lapuk itu daripada anda gantikan dengan perabot yang baru. Anggaran harga 1 baldi cat 5 liter adalah sekitar RM80 hingga RM200 manakala anggaran untuk membeli meja atau almari baru adalah sekitar RM2,000 hingga RM5,000. Oleh itu, dengan kitar semula perabot lama, anda dapat mengurangkan kos mengubahsuai rumah dengan jumlah yang banyak.
5. DIY
Cara yang terbaik untuk jimat kos ubahsuai rumah adalah dengan menggunakan kaedah DIY. Kenalpasti bahagian rumah yang ingin diubahsuai dan boleh dibuat sendiri tanpa perlu menggunakan khidmat pakar seperti mengecat dinding dan pagar rumah, memasang perabot dan lain-lain. Selain daripada mengurangkan kos perbelanjaan, kaedah ini juga boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah bersama ahli keluarga.
Jika ruang yang ingin diubah suai itu memerlukan kepakaran yang tinggi seperti meruntuhkan atap, menukar jubin lantai atau memasang suis elektrik, adalah lebih baik jika anda mendapatkan khidmat pakar bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
6. Jadi Pembeli Yang Bijak
Untuk menjimatkan kos ubahsuai rumah tidak semestinya perlu menggunakan kaedah DIY semata-mata. Jadi, tidak salah untuk anda membeli barangan rumah yang baru lebih-lebih lagi jika barangan tersebut memang tidak dapat dibaiki lagi. Sediakan senarai barangan yang perlu dibeli dan senarai kedai yang menjual barangan tersebut. Bandingkan harga barangan di setiap kedai dan ambil kira jika terdapat sebarang promosi yang ditawarkan pada waktu itu.
Selain itu, anda perlu ambil tahu jika terdapat sebarang servis tambahan bagi barangan tersebut seperti caj penghantaran, pemasangan dan caj tersembunyi. Kaji harga yang ditawarkan dengan teliti dan pastikan segala caj tambahan telah termasuk dalam harga yang dipamerkan sebelum membuat pembayaran.
Anda juga boleh kunjungi ekspo barangan rumah seperti BIG Home Expo atau Modern Living Home Expo kerana di sini terdapat pelbagai jenis barangan rumah dari jenama-jenama yang terkenal pada harga yang sangat berbaloi. Kadang-kala ekspo seperti ini menawarkan diskaun sehingga 80%! Ambil kesempatan ini untuk merancang pembelian anda dan pastikan anda tidak melebihi bajet yang telah ditetapkan.
7. Pilih Barangan Elektrik Jimat Tenaga
Dalam pada anda sibuk membeli barangan rumah yang baru, jangan lupa untuk buat tinjauan barangan elektrik yang jimat tenaga. Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperkenalkan peralatan elektrik berlabel di mana terdapat label kecekapan tenaga pada setiap barangan elektrik untuk memudahkan pengguna membuat penilaian sendiri.
Label kecekapan tenaga ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada pengeluar barangan elektrik yang mematuhi piawaian dan keperluan ujian prestasi tenaga untuk penarafan bintang yang telah ditetapkan. Sistem penarafan bintang ini bermula dari 1 bintang (paling rendah) sehingga 5 bintang (paling efisien).
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kos ubahsuai rumah di Malaysia menelan belanja yang agak besar. Jadi sebagai pemilik rumah, anda perlu bijak dalam merancang perbelanjaan projek ubahsuai kediaman anda. Banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum anda mulakan projek ubahsuai ini.
Tidak salah berbelanja untuk keselesaan bersama tapi jadilah pengguna yang bijak. Rumah yang sejahtera adalah rumah yang bebas dari lambakan hutang yang menggunung. Kalau rumah sahaja cantik tapi pinggang dikelilingi hutang juga tidak berguna. Rancang kewangan anda dengan teliti dan jika anda berhasrat untuk mendapatkan bantuan pinjaman peribadi patuh shariah, layari laman sesawang kami di https://yir.com.my/ untuk maklumat lanjut.