Semua orang mahu dapatkan penjimatan ketika berbelanja. Namun, masih ramai lagi yang belum mengamalkan teknik berikut — menjadi ahli!
Lebih separuh tahun 2022 berlalu, rakyat sudah semakin menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu. Pergerakan tidak lagi tersekat — kanak-kanak sudah kembali menjalani kelas di sekolah, ibubapa kembali bekerja di pejabat, malah sudah banyak keluarga yang sudah melancong ke luar negeri.
Namun, realitinya, masih ramai orang yang mengalami tekanan daripada sudut kewangan. Keadaan inflasi yang memuncak pada masa kini menyebabkan harga barangan keperluan menjadi tinggi.
Dalam keadaan sebegini, sudah tentunya ramai yang mahukan penjimatan, diskaun atau ganjaran ketika berbelanja. Sebenarnya, terdapat cara mudah untuk mendapatkan semua yang disebutkan itu — dengan menjadi ahli sesebuah perkhidmatan atau servis!
Contents
Menjadi ahli — penjimatan keperluan dan kehendak!
Menjadi ahli atau mendapatkan status ‘membership’ bagi sesuatu perkhidmatan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Sebagai contoh, pasti anda pernah ke kaunter bayaran pasaraya atau farmasi dan juruwang yang bertugas bertanya kepada anda “Ada membership tak?”
Ya, menjadi ahli boleh dikatakan suatu bentuk kesetiaan terhadap sesuatu produk dan kesetiaan ini akan dibalas dalam bentuk diskaun dan ganjaran. Sebagai contoh, sekiranya anda ke farmasi atau pasaraya, anda mungkin perasan terdapat “harga ahli” dan “harga biasa”. Ini bermakna, sebagai seorang pelanggan ahli kepada farmasi atau pasaraya tersebut, anda mendapat keistimewaan harga diskaun.
Selain itu, terdapat juga perkhidmatan yang memberikan mata ganjaran atau pulangan tunai (cashback) setiap kali anda berbelanja dengan perkhidmatan mereka. Mata ganjaran yang terkumpul pula boleh digunakan pada masa hadapan sebagai ganti kepada wang semasa bayaran.
Kini, sudah terlalu banyak produk dan servis yang menawarkan keahlian kepada pelanggan mereka. Stesen petrol, misalnya, juga sudah menyediakan keahlian kepada pelanggan.
Sebagai contoh, Petronas mempunyai keahlian “Mesra” manakala Shell mempunyai keahlian “Bonuslink”.
Keahlian tidak terhad kepada barangan dan perkhidmatan dalam kategori keperluan sahaja tetapi juga kepada kategori kemahuan. Sekiranya anda penggemar kopi, terdapat banyak jenama kopi yang menawarkan keahlian. Begitu juga buat penggemar wayang, dimana keahlian bukan sahaja menawarkan mata ganjaran dan diskaun tetapi juga banyak ‘freebies’ seperti hadiah istimewa ketika bulan hari lahir anda.
Sekiranya anda gemar membeli-belah secara dalam talian, terdapat banyak platform yang menawarkan ganjaran kepada anda. Sebagai contoh, Shopee menawarkan ganjaran terkumpul dalam bentuk ‘coins’ sekiranya anda membuat bayaran melalui kaedah ShopeePay. Anda juga diberi peluang untuk membuat pembelian Buy Now Pay Later (BNPL), iaitu kaedah ansuran tanpa faedah.
Pembayaran menggunakan e-dompet untuk ganjaran berganda
Selain ganjaran sebagai ahli, sekiranya anda membuat pembayaran secara e-dompet, anda akan mendapat kelebihan yang berganda. Pertamanya, anda mendapat mata ganjaran sebagai ahli perkhidmatan tersebut, dan kedua, mata ganjaran kerana menggunakan e-dompet ketika membuat pembayaran.
Ketika ini, terdapat pelbagai jenis dompet maya atau e-dompet yang selamat dan boleh dipercayai di Malaysia seperti GrabPay, Boost, dan Touch ‘n Go. Mengapa perlu membuat pembayaran seperti biasa atau kaedah transfer terus seperti Bank Transfer atau QPay apabila anda boleh mendapat ganjaran dengan membuat bayaran secara e-dompet? Malah berbanding kaedah kad kredit, anda tidak dikira sebagai berhutang dan seterusnya dikenakan cas faedah ke atas bayaran anda tersebut.
Sebenarnya, pembayaran secara e-dompet adalah suatu bentuk pembayaran tanpa tunai (cashless) iaitu kaedah pemabyaran tanpa penggunaan mata wang tunai seperti duit kertas dan syiling.
Apabila sebuah masyarakat tanpa tunai dapat diwujudkan, negara akan turut mendapat kelebihan berikut:
- Kadar jenayah lebih rendah
- Tanpa wang tunai fizikal, jenayah seperti kecurian dan rompakan akan berkurangan. Sweden, sebagai contoh, mencatatakan angka rompakan bank berkurangan daripada 110 kes pada tahun 2008 kepada hanya 16 rompakan pada tahun 2011.
- Operasi perniagaan yang lebih mudah dan kos yang lebih rendah
- Wang tunai perlu dikira dan disimpan oleh peniaga dan selepas itu perlu dipindahkan ke dalam akaun bank. Konsep tanpa tunai tidak memerlukan kaedah ini.
- Tidak perlu bawa wang dan tiada masalah ‘wang kecil’
- Pelanggan tidak perlu membawa wang tunai dan juga tidak perlu beratur panjang di mesin ATM. Pelanggan dan peniaga juga tidak perlu menyediakan ‘wang kecil’ kerana transaksi dilakukan secara digital.
- Lebih banyak pembelian produk berharga tinggi
- Ini menguntungkan kedua-dua pembeli dan penjual. Kebanyakkan pelanggan tidak mampu membuat pembelian besar kerana tidak mempunyai jumlah wang yang cukup pada masa pembelian. Bagaimanapun, kaedah seperti BNPL membolehkan pembelian ini berlaku kerana memecahkan jumlah harga kepada ansuran bulanan tanpa faedah.
- Mengurangkan rasuah dan kegiatan cuci wang
- Transaksi tanpa tunai mengurangkan titik pertemuan secara langsung antara orang awam dan pegawai kerajaan. Ia juga mudah diaudit dan pergerakan wang mudah untuk dijejak kerana mempunyai rekod digital.
- Pertukaran wang yang lebih tepat dan mudah
- Anda tidak perlu menggunakan perkhidmatan pengurup wang.
- Mudah melakukan belanjawan
- Semua rekod sudah tersedia secara digital.
Konsep menjadi ahli ini bukan sahaja memberikan banyak ganjaran tetapi mudah sahaja untuk dilakukan. Lebih banyak perbelanjaan anda dilakukan dengan menjadi ahli, lebih banyak penjimatan yang dinikmati.